Thursday, February 20, 2020

Ulasan Video TITAS



FAKULTI : FAKULTI  TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
KURSUS: IJAZAH SARJANA MUDA SAINS KOMPUTER (PENGURUSAN PANGKALAN DATA) DENGAN KEPUJIAN
SEMESTER II SESI 2018/2019


MATA PELAJARAN: TAMADUN ISLAM & TAMADUN ASIA

KOD MATA PELAJARAN: BLHW 1702

ULASAN VIDEO:

TAJUK:
“PROTO – SCI-FI”
PANJANG TEMPOH MASA:15.05

ALAMAT CAPAIAN:
https://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=Ji8va4IMmmY

DISEDIAKAN OLEH:
NAMA :  1.ADELINA ASHAZ
2.SYAHIRAH BINTI MOHAMAD AZAHRI
NO. MATRIK :1.B031810XXX
2.B031810XXX

DISEDIAKAN UNTUK:
DR. SAZELIN BINTI ARIF
PUSAT BAHASA DAN PEMBANGUNAN INSAN

PENDAHULUAN
Tajuk video yang diulas adalah “Proto – Sci-Fi”. Ulasan ini dibuat berdasarkan satu video yang boleh dicapai di alamat URL https://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=Ji8va4IMmmY Tempoh lama masa video ini disiarkan adalah 15.05 minit.

ISI PENTING VIDEO
Video ini merupakan salah satu video yang telah dimuat naik dalam laman web youtube dan telah mencapai tontonan seramai 1,138,845 tontonan semenjak dimuatnaik pada Oktober 2014. Filem pendek ini dihasilkan oleh Eye Candy Film sebagai salah satu ko-produksi antarabangsa antara Screen South yang berpusat di United Kingdom dan juga Film Fyn di Denmark.

Video ini secara keseluruhannya menceritakan tentang sebuah robot yang dicipta oleh seorang saintis sebagai satu alat yang digunakan untuk tujuan ketenteraan. Kehebatan Proto diuji pada ujian-ujian yang perlu dilaluinya bagi menguji kecekapan dan kepintaran Proto dalam melakukan sesuatu dan menerima arahan dengan baik. Namun, kebolehan Proto dalam melakukan perkara lain dianggap sebagai satu kesalahan dan menunjukkan kegagalan mereka dalam mencipta robot tersebut.

Kandungan penting video ini menerangkan tentang sikap tidak bersabar dalam melakukan pekerjaan. Dalam video ini ada memaparkan babak Proto yang sentiasa dimarahi oleh seorang saintis bernama Professor Andrews kerana kelemahannya yang tidak dapat menerima arahan dengan cepat. Di sini jelas menunjukkan bahawa sikap bersabar itu sangat penting dalam melakukan sesuatu perkara seperti pepatah arab yang bererti “sabar itu separuh daripada iman”. Sekiranya kita tidak bersabar dan bersikap pemarah, kita mungkin akan mengguris hati sesetengah pihak dengan kata-kata kita sendiri. Sesungguhnya, lidah itu lebih tajam berbanding mata pedang. Kata-kata negatif yang dikeluarkan oleh Professor Andrews kepada Proto telah menyebabkannya berasa sedih dan memberi tekanan kepadanya.

Selain itu, kandungan video ini juga menjelaskan bahawa kita janganlah menuding jari kepada pihak lain atas kesalahan yang dilakukan diri sendiri. Professor Andrews menyalahkan Proto kerana tidak mampu menerima arahan dengan baik dan kebolehannya berbeza dengan kehendak yang diinginkan sedangkan Proto tidak bersalah dan saintis tersebutlah yang perlu disalahkan kerana kecuaiannya dalam mengaturcarakan robot tersebut.

Dalam mengembangkan penceritaan  dalam video ini, beberapa unsur konflik juga diselitkan pada perkembangan plot video ini. Contohnya, semasa Proto diuji oleh Professor Andrews di hadapan general dan rombongannya, Proto gagal untuk bertindakbalas dengan baik lalu menyebabkan Professor Andrews  mengeluarkan kata-kata kasar kepadanya dan mengundang kemarahan Proto. Proto memberontak lalu melempar pad ping-pongnya ke arah saintis tersebut namun terkena skrin televisyen. Permasalahan antara Professor Andrews dan Proto merupakan konflik yang terdapat dalam video ini.


Selain itu, video ini terkandung nilai menghargai bakat dan kelebihan orang lain. Pembantu Professor Andrews iaitu Simon sentiasa menunjukkan sokongan dan tindakbalas positif terhadap apa jua perkembangan dan bakat yang ditunjukkan Proto dihadapannya. Contohnya, semasa Proto selesai bermain biola, Simon memberikan tepukan tanda sokongannya terhadap bakat Proto.  Berbeza sekali dengan sikap Professor Andrews yang mempamerkan riak wajah tidak suka dan terus memarahi Proto lalu merampas biola itu dari tangannya.

Beberapa perkara yang sangat ditekankan dalam video ini ialah kita seharusnya berani untuk membuat pilihan dalam hidup kita. Walaupun Proto hanyalah sebuah robot, namun dia telah diprogramkan sebagai sebuah robot yang mempunyai perasaan. Proto cenderung terhadap perkara-perkara di luar bidang ketenteraan dan dia sangat takut untuk menyatakan pendiriannya lalu menyebabkan dirinya berasa tertekan dengan kehidupannya.

Ini menunjukkan bahawa kita mestilah mempunyai pendirian yang teguh dalam menjalani kehidupan ini. Sedangkan robot pun perlu membuat pilihan dalam hidupnya apatah lagi manusia yang dianugerahkan akal fikiran untuk berfikir lebih rasional berbanding mesin kepintaran buatan seperti Proto. Seandainya kita tidak bijak dalam membuat pilihan yang betul, pastinya perkara ini akan mendatangkan kesan buruk terhadap diri kita sendiri. Berfikir dengan bijak dalam melakukan sesuatu keputusan juga merupakan kayu ukur terhadap tahap kematangan seseorang individu tersebut.

Di penghujung video ini, ia telah membuktikan bahawa pendirian diri yang teguh itu amat penting dalam menjalani kehidupan. Proto telah membuat pilihannya dan menetapkan pendiriannya untuk meninggalkan makmal tersebut dan membawa diri bersama Symphony, sebuah robot yang mengajarnya bermain biola.

PENDAPAT PENGULAS :  KEKUATAN ATAU KELEMAHAN VIDEO SERTA IMPAK TEKNOLOGI TERHADAP KEHIDUPAN MANUSIA

Secara keseluruhannya, pengulas berpendapat bahawa video bertajuk ‘Proto Sci-Fi’ adalah amat memberi impak kepada kita bahawa teknologi mempunyai kebaikan serta keburukan iaitu dari segi kebaikan ia dapat memudahkan kerja seharian. Pada video tersebut, robot bernama ‘Proto’ itu telah dicipta untuk kegunaan ketenteraan. Pada dahulu kala kita dapat melihat semua kerja dilakukan atau dibuat secara manual dan juga secara fizikal yang memerlukan tenaga. Akan tetapi dengan kewujudan teknologi yang lebih canggih, semua kerja dapat dibuat atau dilakukan dangan baik serta pantas dengan berdasarkan bantuan teknologi. Kemajuan teknologi kini dapat dilihat melalui penembusannya dalam setiap aspek kehidupan harian dari sudut pekerjaan hingga ke gaya hidup sihat masyarakat.

Video ini juga dapat menunjukkan kekurangan pergaulan. Sekiranya ianya berlarutan untuk jangka masa yang agak lama, ianya boleh mengurangkan kemahiran bersosial dan tidak mempunyai keyakinan diri ketika bergaul dengan masyarakat sekeliling. Ini jelas memberi kesan yang negatif kepada individu tersebut. Di dalam video ini juga menunjukkan saintis tersebut menghiraukan perasaan Proto dan tidak menyokong terhadap minat Proto iaitu bermain violin. Saintis tersebut lebih menekankan disiplin terhadap Proto dan seterusnya telah mengakibatkan Proto menunjukkan protes semasa sesi bersama pihak atasan

Pengulas mendapati bahawa terdapat beberapa kekuatan/kelemahan dalam video ini. Ia menunjukkan pentingnya komunikasi antara satu sama lain. Kita haruslah menunjukkan sikap bertoleransi dan tidak mementingkan diri sendiri. Dalam alam pekerjaan kita haruslah berbincang tentang sesuatu perkara agar tidak ditimpa masalah seperti yang ditunjukkan pada akhir video tersebut

Ini jelas terbukti apabila video ini berjaya memberi impak pemahaman tentang penggunaan teknologi kepada manusia.  Pengulas juga ingin memberikan saranan dan cadangan dalam menambah baik cara menggunakan teknologi dengan lebih bijak. Pengguna haruslah menggunakan teknologi untuk hal yang berkaitan sahaja. Ini adalah untuk menggelakkan pengguna tidak terlalu bergantung kepada teknologi sahaja untuk menyelesaikan sesuatu perkara.

Pengulas juga berpendapat bahawa kita hendaklah menerima pandangan orang lain supaya dapat memperbaiki sesuatu perkara dengan lebih cepat. Ia juga boleh menambahbaik kemahiran berkomukasi antara satu sama lain dan dapat bertukar idea atau pandangan.


PENUTUP
Secara kesimpulannya, video ini telah dapat memberikan banyak pengajaran kepada kita supaya lebih bijak membuat keputusan dan tidak terburu-buru. Setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya jika kita berfikir secara rasional. Oleh itu, komunikasi juga penting agar kita dapat bertukar pandangan daripada semua pihak supaya sesuatu tugas itu dapat dijalankan dengan lancar.








No comments:

Post a Comment