Thursday, February 20, 2020

Ulasan Artikel Hubungan Etnik





HUBUNGAN ETNIK
(BLHW 2712)
IJAZAH SARJANA MUDA SAINS KOMPUTER (PENGURUSAN PANGKALAN DATA) DENGAN KEPUJIAN
SEMESTER 2 (2018/2019)

ULASAN ARTIKEL

TAJUK ARTIKEL : “LGBT : KRISIS IDENTITI BUKAN HAK ASASI”

NAMA                       :           ADELINA 

NO. MATRIK           :           B0318XXXXX

KURSUS /                 :           1BITD S1GI
SEKSYEN    

PENSYARAH           :           DR ANIDAH BINTI ROBANI

PENGENALAN
            Artikel ini adalah mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang ingin memperjuangkan hak mereka di dalam negara ini. Mereka menuntut kesamarataan hak seperti yang berlaku di negara Barat. Golongan ini telah ditentang memandangkan konsep hubungan songsang sangatlah bertentangan dengan agama Islam yang merupakan agama rasmi Malaysia menurut Perlembagaan Persekutuan.

Golongan ini juga telah dikecam serta dipulaukan dalam negara kita dan menyebabkan mereka tidak dilayan dengan baik kerana pandangan serong masyarakat terhadap golongan LGBT ini. Isu ini juga telah menyebabkan huru-hara terjadi dalam negara yang membabitkan soal keamanan dan keselamatan apabila golongan ini semakin lantang dalam memperjuangkan hak mereka dengan melakukan perhimpunan secara haram seperti yang terjadi di ibu negara baru-baru ini.

HURAIAN RINGKAS KESELURUHAN ARTIKEL
                        Daripada artikel bertajuk “LGBT : Krisis Identiti Bukan Hak Asasi”, penulis ada menyelitkan kenyataan tegas daripada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menerima golongan songsang ini memandangkan agama rasmi negara kita adalah agama Islam menurut Perlembagaan Persekutuan. Allah swt melaknat golongan yang menjalinkan hubungan sejenis seperti mana firman Allah swt dalam surah Al-Naml ayat 55, Allah berfirman “ Mengapa kamu mendatangi lelaki untuk (memenuhi) syahwat(mu), bukan (mendatangi) perempuan ? Sesungguhnya kamu adalah kaum yang tidak mengetahui (akibat perbuatanmu).” Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah swt melaknat golongan yang menjalinkan hubungan sejenis kerana perbuatan ini sangat menyalahi fitrah secara terang-terangan. Dalam konteks kehidupan seharian, manusia sememangnya mempunyai pegangan agama masing-masing sejak mereka lahir lagi. Setiap agama juga membantah segala perlakuan di luar norma kehidupan seperti yang dilakukan oleh golongan LGBT ini. Dalam Islam, Allah swt telah menciptakan manusia yang hanya terdiri daripada jantina lelaki dan perempuan sahaja. Tidak pernah wujud jantina ketiga sepanjang peradaban manusia ini terjadi. Setiap manusia mempunyai pegangan agama dalam diri masing-masing. Jadi mengapa ingin memperjuangkan perkara yang menyalahi fitrah manusia biasa ? Tambahan pula, melalui artikel sokongan yang telah saya baca, saya mendapati bahawa kebanyakan golongan LGBT menghidap penyakit organik iaitu penyakit berkaitan hormon dan juga otak. Di sini jelas menunjukkan bahawa perlakuan di luar fitrah manusia sememangnya bakal mengundang implikasi buruk terhadap individu itu sendiri.
            Saya mendapati dalam isu yang terdapat dalam artikel ini juga ada dikaitkan dengan isu hak asasi manusia. Golongan LGBT cuba untuk memperjuangkan hak mereka berlandaskan hak asasi manusia iaitu hak untuk berkemahuan dan hak untuk bersuara. Dalam perkara ke-5 yang terkandung dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat iaitu kebebasan daripada seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan, jelas sekali menunjukkan bahawa mereka sememangnya layak untuk memperjuangkan perkara ini. Hak untuk bersuara digunakan oleh golongan LGBT supaya mereka dapat menuntut agar mereka diberikan kesamarataan hak dalam menjalani kehidupan di negara ini memandangkan mereka tidak mendapat layanan yang begitu baik dalam kalangan masyarakat.Dalam artikel sokongan bertajuk “SUHAKAM gesa layanan adil terhadap golongan LGBT”, golongan ini tidak mendapat peluang yang sama seperti mana yang diperoleh oleh masyarakat normal di negara kita dan mereka menerima diskriminasi dalam lima sektor seperti pendidikan, peluang pekerjaan, kesihatan, hak perumahan dan juga maruah mereka dipijak selain mereka dipandang serong oleh masyarakat. Sebagai seorang manusia, mereka sudah layak untuk mendapatkan hak-hak tersebut. Namun begitu, menurut artikel utama, penulis menyokong sekiranya golongan LGBT dilayan secara tidak adil atau didiskriminasi kerana beliau berpendapat golongan yang memilih jalan songsang sememangnya perlu dipinggirkan atau dikenakan hukuman. Mutakhir ini kita dapat lihat mereka semakin lantang bersuara sehingga mereka sudah berani untuk mengadakan perhimpunan secara haram di ibu negara baru-baru ini. Menurut Perkara 20 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat iaitu hak kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan, perlakuan mereka dengan mengadakan perhimpunan secara haram sudah jelas menunjukkan mereka sudah melanggar hak asasi manusia itu sendiri. Adakah mereka tidak cakna akan intipati hak asasi manusia tersebut atau mereka sengaja buat-buat tidak tahu akan perkara ini supaya keinginan mereka dapat dipenuhi ?  Jadi, bagaimana kita ingin memberikan hak asasi manusia tersebut sedangkan mereka sendiri telah melanggar perkara yang termaktub dalam hak asasi manusia itu sendiri.

Namun begitu, jika kita lihat pada masa kini golongan LGBT semakin menyerlah apabila mereka sendiri telah menjadi usahawan yang berjaya serta menjadi idol dalam kalangan masyarakat setempat. Dalam artikel utama juga ada menyebut bahawa ada golongan liberal turut bersama-sama turun padang bagi memperjuangkan hak bagi golongan songsang ini. Ini bermakna golongan LGBT sudahpun mempunyai tulang belakang dalam perjuangan dunia mereka ini. Sudah terang lagi bersuluh mereka sudah pun mendapat hak yang sama dalam negara kita tetapi mereka masih ingin menuntut hak dalam perkara lain seperti cadangan untuk mewujudkan tandas buat golongan tidak diiktiraf ini. “Diberi betis nak peha”, sudahlah tidak diiktiraf kemudian ingin meminta lagi hak di negara ini supaya mereka dapat hidup seperti masyarakat normal.

            Jika kita ingin mengira hak asasi manusia sahaja, jadi siapakah yang bakal mengambil kira hak asasi umat Islam pula ? Menurut artikel sokongan yang telah saya baca, saya mendapati bahawa isu LGBT ini bukanlah isu golongan yang melakukan perkara di luar norma kehidupan sahaja bahkan LGBT ini juga merupakan satu penghinaan dan pencabulan terhadap hak asasi manusia dan masyarakat yang merentasi kaum serta agama. Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM) menyatakan bahawa LGBT adalah penyakit sosial dan tidak sewajarnya diberikan sokongan mahupun tempat istimewa seperti yang dituntut oleh golongan tersebut. Kenyataan ini sangatlah berkait dengan artikel “LGBT : Krisis Identiti Bukan Hak Asasi” yang juga mengatakan bahawa LGBT ini adalah krisis serta kekeliruan identiti individu terlibat. Selain itu, dalam artikel utama juga, Tun Dr Mahathir Mohamad ada menyebut bahawa perjuangan golongan LGBT tidak boleh dikaitkan dengan isu hak asasi manusia mahupun soal demokrasi semata-mata, namun perlulah dilihat dari sudut krisis identiti. Dari sini dapat kita konklusikan bahawa tidak seharusnya wujud isu perjuangan golongan LGBT memandangkan Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dikategorikan berkaitan soal hak asasi. Jika ingin memperjuangkan sesuatu seharusnya mereka berpandukan sesuatu perkara yang lebih konkrit bukan berdiri di atas isu hak asasi mahupun soal demokrasi semata kerana sudah jelas isu LGBT ini menyalahi fitrah manusia dan melanggar hukum merentasi semua agama.

 Memandangkan Islam merupakan agama rasmi persekutuan, sememangnya isu ini wajar ditentang habis-habisan kerana sangat bertentangan dengan apa yang telah dijelaskan dalam al-Quran. Perkara yang mengejutkan mengenai isu ini ialah kebanyakan golongan muda yang terjebak dalam masalah ini ialah pemuda dan remaja Islam yang berpegang pada agama Ad-Din namun masih terjerumus ke dalam masalah ini. Oleh itu, kita seharusnya mencegah perkara ini daripada terus berlarutan kerana bilangan golongan ini juga semakin ramai dari sehari ke sehari ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Justeru, kita sebagai masyarakat perlu menunjukkan kepada golongan sebegini perkara yang sebetulnya supaya kekeliruan mereka dapat dipulihkan dan masalah ini dapat diselesaikan segera.


KESIMPULAN

            Isu LGBT tidak akan pernah habis seandainya masyarakat di negara kita tidak mengendahkan perkara ini dan membiarkan perkara ini terus berlarutan. Kerajaan dan rakyat perlulah bersama-sama berganding bahu bekerjasama dalam menentang golongan ini daripada terus berani memperjuangkan hak yang tidak seharusnya dan tidak layak pun untuk mereka peroleh. Pencerahan agama perlulah lebih ditekankan supaya golongan sebegini lebih jelas dan faham akan kesalahan yang telah mereka lakukan. Kita juga perlulah bersama-sama menentang fahaman golongan liberal yang sanggup mengetepikan soal agama semata-mata ingin bersama berjuang dengan golongan songsang ini di samping melindungi anak-anak muda pada zaman ini daripada mudah terjerumus dengan permasalahan ini. Hidup kita sepatutnya berpaksikan kepada ajaran agama yang telah kita pelajari dan bukanlah berkiblatkan fahaman dan pendapat manusia yang penuh khilaf dan dosa ini sahaja. Sesungguhnya isu LGBT ini menyedarkan kita bahawa ajaran agama tidak boleh dipermainkan dan diketepikan kerana pasti akan wujud masalah sekiranya diteruskan juga perlakuan ini. Bukti sudah kita lihat, negara kita menjadi huru-hara dek kerana perjuangan berteraskan nafsu semata-mata yang dilakukan oleh golongan songsang ini dan perkara ini boleh menjadi punca kepada perpecahan dalam negara kita. Sebagai seorang pelajar yang masih muda dan mentah, kita mestilah memantapkan ilmu agama supaya kita lebih jelas dan faham akan perkara ini di samping melindungi diri kita daripada terdedah kepada perkara-perkara yang merosakkan diri dan akhlak kita. 

No comments:

Post a Comment